Gastrik bukan alasan tidak puasa

Wednesday, September 19, 2007

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN



ANTARA rungutan yang sering kedengaran Ramadhan ini adalah gastritis. Gastrik popular pada bulan Ramadan ini apabila ramai yang menjadikannya alasan untuk tidak berpuasa. Maka, berbondong-bondonglah orang Islam yang tidak berpuasa diangkut dengan van mayat kerana mengingkari syariat Islam itu. Pesakit gastrik selalunya ragu-ragu untuk menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadan kerana fitrahnya sebagai gangguan yang berkaitan dengan pola pemakanan, sedangkan puasa bererti mengubah pola makan. Bolehkah pesakit gastrik berpuasa? Tidakkah puasa akan memburukkan lagi penyakit itu? Demikian antara soalan- soalan yang sering diajukan.

Puasa merehatkan saluran pencernaan (usus) serta enzim dan hormon yang biasanya bekerja untuk mencerna makanan secara terus-menerus selama lebih kurang 18 jam, kecuali tidur. Dengan berpuasa, organ penting itu dapat beristirahat selama lebih kurang 14 jam. Selama masa itu, tidak ada makanan dan minuman yang masuk ke dalam sistem pencernaan kita.

Selagi penyakit gastrik itu belum memasuki tahap kronik atau masih dalam peringkat ringan, pesakit boleh sahaja menjalankan ibadah puasa dengan sempurna asalkan tahu caranya.
Pakar Perunding Kanan Perubatan Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Datuk Md. Salleh berkata, gastritis bukanlah satu penyakit tetapi ia merupakan satu kumpulan keadaan di mana kesemuanya mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu inflamasi di dalam lapisan perut anda. Secara amnya, inflamasi terjadi akibat jangkitan bakteria yang sama dengan ulser perut. Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada gastritis termasuklah kecederaan traumatik dan penggunaan pil penahan sakit secara kerap.

Walaupun terdapat banyak keadaan yang dikaitkan dengan gastritis, tanda- tanda dan simptom-simptom penyakit ini adalah sama iaitu rasa perit di bahagian atas abdomen dan kadangkala kembung, sendawa, rasa mual atau muntah-muntah. Dalam beberapa kes, gastritis boleh mengakibatkan ulser dan meningkatkan risiko kanser perut. Bagi kebanyakan orang, gastritis tidaklah serius dan ia akan pulih dengan cepat apabila diberi rawatan, ujar beliau. Menurutnya, serangan gastrik terjadi apabila produksi asid perut secara berlebihan sehingga menyebabkan lapisan perut mengalami iritasi. Dalam tempoh berpuasa terutamanya setelah enam hingga lapan jam perut kosong, akan terjadi peningkatan asid perut yang dapat menyebabkan gejala sakit gastrik. Di hari-hari awal bulan Ramadhan, orang yang tidak mengalami penyakit gastrik pun kadang-kadang merasakan perutnya kembung, pedih atau sedikit memulas. Ini kerana, perut melalui proses pengubahsuaian pola makan saat berpuasa.

Biasanya, memasuki akhir minggu pertama, gangguan ini akan hilang dengan sendirinya kerana tubuh sudah mampu menyesuaikan diri. Pada orang yang sihat, keadaan ini dapat diatasi dengan pilihan makanan yang tepat saat berbuka dan sahur serta kegiatan yang tidak menyebabkan terjadinya peningkatan udara di dalam perut serta peningkatan asid perut. Bagi individu yang memang terdapat kelainan organik, puasa akan memburukkan keadaan sakit perutnya jika tidak diubati dengan tepat. Tetapi jika sakit perutnya diubati, dapatlah mereka melakukan ibadah puasa seperti orang normal. Dr. Ahmad Shukri berkata, untuk menghindari keadaan lebih parah, hindar makanan dan minuman yang dapat merangsang asid perut misalnya makanan pedas, berasid dan berkafeina seperti kopi. Hindari juga stres kerana ini pun
berupaya mencetuskan pengeluaran asid perut secara berlebihan. Selama berpuasa, jangan abaikan zat makanan. Lalu ketika berbuka, makanlah secara bertahap, dengan menerapkan teknik-teknik pola makan antigastrik seperti makan sahur tidak terlalu kenyang kerana akan lebih merangsang perut, namun perlu mengandungi cukup karbohidrat, jelasnya. Pesakit gastrik boleh berbuka dengan pelbagai jenis kuih ataupun minuman yang manis tetapi jangan terlalu manis atau terlalu banyak sekali gus kerana akan merangsang produksi asid perut secara mendadak. Ada baiknya porsi berbuka dibahagi kepada dua iaitu waktu maghrib dan sesudah solat tarawih. Pada saat berbuka puasa, yang pertama kali masuk ke perut cukuplah seperti buah tamar, makanan ringan atau cairan seperti teh manis panas atau sepotong kuih. Pascasalat maghrib, barulah makan nasi dengan lauk-pauk secukupnya disertai buah- buahan yang tidak masam. Terdapat juga jenis buah yang boleh membantu memperkuat daya tahan perut terhadap serangan gastrik di antaranya avokado dan pisang raja. Setelah solat tarawih, makanlah makanan yang lebih ringan seperti kuih- muih dan segelas susu coklat. Bagi pesakit radang, saluran pemakanan esofagus akibat refluk asid, elakkan makan lewat malam sebelum tidur kerana ia akan meningkatkan kadar asid yang akan naik dari perut ke saluran esofagus yang menyebabkan rasa masam di mulut atau panas di belakang dada.

Dewasa ini, ubat penyakit gastrik terutama yang diperlukan untuk mengendalikan asid perut mempunyai masa kerja yang panjang, sekitar 12 jam sekali gus memudahkan pengaturannya selama bulan puasa. Antara medikasi untuk meneutralkan asid perut sama ada antasid, penghalang asid, perencat pam proton dan agen cytoprotective. Ubat sebaiknya diberikan waktu subuh sesudah makan sahur, dan bila perlu ditambah sesudah berbuka puasa. Pesakit yang sebelum ini tidak mempunyai masalah dengan perut tidak perlu takut akan mengalami sakit gastrik saat berpuasa, bahkan puasa akan membuat pencernaannya lebih sihat. Ubat-ubatan untuk gastrik juga tidak diperlukan untuk pesakit yang tidak ada masalah dengan penyakitnya itu selama melaksanakan puasa Ramadan. Biasanya dengan berpuasa, keluhan sakit gastrik berkurang dan berasa lebih sihat semasa berpuasa kerana pemakanan menjadi lebih teratur sebulan ini. Kebiasaan makan makanan ringan dan minum soda pasti tidak dilakukan pada waktu pagi, siang dan petang hari kerana sedang berpuasa. Umumnya juga, orang yang berpuasa akan lebih banyak bersabar dan mengendalikan stres, menyebabkan pesakit dapat berpuasa dengan baik dan keluhannya akan berkurang.

Tip makanandan minuman

* Hindari makanan dan minuman yang banyak mengandung gas dan terlalu banyak serat, antara lain sayuran tertentu (sawi, brokoli), buah-buahan tertentu (nangka, pisang embun), makanan berserat tertentu (kedondong, buah yang dikeringkan), minuman yang mengandung gas (seperti minuman bersoda).

* Elakkan juga makanan yang merangsang pengeluaran asid perut antara lain kopi, cuka, sari buah sitrus dan susu.

* Hindari makanan yang sukar dicerna yang dapat memperlambat pengosongan perut kerana ini dapat menyebabkan peningkatan peregangan di perut yang akhirnya dapat meningkatkan asid perut, antara lain makanan berlemak, coklat dan keju.

* Elakkan makanan yang secara langsung merosakkan dinding perut iaitu makanan yang mengandungi cuka dan pedas, lada putih dan rempah- ratus yang merangsang.

* Hindari makanan yang melemahkan kerongkong bawah sehingga menyebabkan cairan perut dapat naik ke kerongkong, antara lain alkohol, coklat, makanan tinggi lemak dan bergoreng.

* Selain makanan minuman di atas, ada beberapa sumber karbohidrat yang harus dihindari pesakit gastrik antara lain beras pulut, mi, bihun, jagung, ubi, ubi kayu, keladi serta dodol.

Aktiviti yang meningkatkan gas di dalam perut juga harus dihindari, antara lain makan gula-gula yang mengandungi minyak perangsang tumbuh- tumbuhan terutamanya lobak. Tabiat merokok hanya akan meningkatkan gas di dalam perut. Secara umum, konsep pemberian makanan untuk pesakit dengan gangguan pencernaan adalah dalam hidangan yang kerap tetapi sedikit. Hal ini sukar dilaksanakan selama berpuasa. Oleh kerana itu, yang terpenting adalahmenghindarkan diri dari makanan dan minuman yang boleh memburukkan gastrik.

0 Komen:

Post a Comment

ash berkongsi (129) cnp copy and paste (37) berita (21) cnp (21) politik (21) sosiologi (19) Science (16) sains (16) tazkirah (15) sejarah (14) falak (13) Quran (12) astronomy (12) filem (11) mahasiswa (11) sajak (11) kesihatan (8) ramadhan (8) Health (7) astrophotography (7) hobi (7) 2012 (6) Sunnah (6) buku (6) conspiracy (6) travelog dq (6) english (5) tarbiah (5) Diet (4) TURKI (4) tips (4) Kajian (3) pemakanan (3) jumaat (2) music (2) pantun (2) Fetih 1453 (1) Fitness (1) Kuliyyah Notes (1) LM 2020 (1) Nebula (1) Risalah Nur (1) SMS (1) Self-Help (1) ash (1) essay (1) psikologi (1) seloka (1)

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP