Bingkisan 2017 dan Rigkasan Interlok

Saturday, August 26, 2017


Permulaannya saya membaca buku 'Perpuakan PAS Era Abdul Hadi Awang' tulisan Syahidulamri Khairuddin. Kemudian 'Say It Like Obama', oleh Shel Leanne. Buku pertama lebihnya kepada pembuktian bahawa wujudnya perpuakan yang berlaku dalam parti PAS menelusuri sepanjang sejarah PAS. Bagi saya buku ini terlalu deduktif cara kajiannya. Buku kedua lebihnya pula pada psikologi-politik (Bahasa Inggeris; political-psychology) seorang sosok bernama Obama. Tidak dinafikan Obama adalah seorang ahli politik yang mahir berpidato. Penggunaan ayat yang mengagumkan. Retorik yang menarik. Be
berapa video ucapan Obama yang saya tonton kebanyakan berkisar perkara yang sama yang sentiasa diulang ulang yang kemudiannya dikaitkan dengan situasi ucapan beliau.

Buku ketiga bertajuk Pelayaran Bangsa Arab (BI; The Arab Navigation), asalnya sebuah syarahan oleh Syed Sulaiman An-Nadvi di Islamic Research Association, Bombay pada 18-21 Mac MCMXXXI yang dibukukan. Di dalam buku ini ada dinamakan Tanah Melayu sebagai bumi emas ini kerana banyak hasil mahsul yang ada. Pada zaman pelayaran dahulu, Tanah Melayu kaya dengan rempah ratus, lagi pula ia menjadi tempat persinggahan pelayar dari balik Timur dunia berehat barang dua tiga bulan sambil menunggu angin belayar ke Barat. Begitulah sebaliknya. Buku ini juga mengisahkan akan kemajuan teknologi pelayaran bangsa Arab yang dikatakan pertama kali menjumpai kompas. Buku ini telah dipinjamkan oleh Dr Alinor Kadir, belum lagi saya pulangkan.

Buku ke empat, The Malays:Their Problems and Future,
Syed Husin Ali. Buku yang saya baca adalah buku edisi kedua yang diterbitkan semula pada tahun MMVIII. Asalnya ia ditulis pada tahun MCMLVVIII. Saya tidak sempat habiskan baca buku ini dalam sebulan. Ia membuatkan saya kekok untuk menulis walau barang sedikit berkenaan buku ini.

Saya terus melompat kepada buku seterusnya Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu. Buku ini amat berat. Saya pernah membacanya antara Jun dan Ogos MMXIV. Malangnya, pembacaan pada kali ini tidak melepasi bahagian pradurja (biasanya perkataan 'pengenalan' digunakan oleh penulis lain). Shaharir Mohamad Zain amat unik bahan tulisannya.
Lalu datanglah bulan puasa bagi tahun Hijrah 1439. Sebulan saya hanya membaca al-Quran. Sambil berlumba lumba dengan ahli kumpulan WhatsApp siapa yang cepat habis. Sesudah bulan puasa, bulan Syawal tiba hingga ke sudah tiada satu buku habis. Masuklah bulan ZulKaedah. Saya dipertemukan dengan novel Interlok, tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Berkebetulan pula Ogos sudah hampir, amat cocok pula disebabkan novel ini membawa cerita sebelum merdeka. Lagilah pula novel ini pernah menjadi kontroversi apabila ia diambil masuk dalam sukatan sastera sekolah.

Interlok adalah novel yang memenangi anugerah penulisan sempena sambutan kemerdekaan ke sepuluh pada tahun MCMLXVII, atas arahan Timbalan Perdana Menteri ketika itu,Tun Razak, novel ini dicetak.

Novel ini terbahagi kepada empat bab. Keluarga Seman, Keluarga Ching Huat, Keluarga Maniam dan Interlok.

Latar masa novel ini menjarak daripada pertengahan abad ke sembilan belas sehingga dua tiga hari sebelum sambutan kemerdekaan Malaya yang pertama.

Secara geografi novel ni meliputi daerah pergunungan tempat tanaman padi di Tanah Besar Cina dan negeri yang dihuni kasta paria di Kerala, India. Manakala di Tanah Melayu, latarnya adalah di Singapura, Muar, Pulau Pinang dan daerah seberang Pulau Pinang.

Cerita ini mudahnya mengisahkan bagaimana tiga kaum terbesar di Tanah Melayu membentuk apa yang ada pada hari ini. Dalam keluarga Melayu, mereka menjadi petani, ada tanah bercucuklah, ada sawah padilah diusahakan, ada reban ayam itiklah di pelihara, tanah yang luas dilepaskan lembu kerbau, ada untung dapatlah jual.

Kaum Cina pula diceritakan dengan mula merantau dari tanah besar Cina datang ke Singapura, kemudian menjadi kuli menarik langca, menjadi hamba, menjadi pelayan kedai makan. Ada wang lebih, mereka menghantar kepada anak pinak di tanah besar, ada juga wang di bayar kepada orang yang membawa mereka ke Singapura. Disebabkan kehidupan yang mendesak di Singapura, mereka terpaksa ke semenanjung kerana masih banyak lagi tanah dan lombong lombong baru yang dapat dibuka. Ada yang berhijrah ke Muar, Melaka dan ada yang ke Perak dan Pulau Pinang. Lalu mereka membuka lombong, mengusahakan gudang gudang kedai di kawasan Melayu.

Orang India pula, ada yang datang dengan kangani dan ada yang datang dengan sendiri mencari rezeki di Tanah Melayu. Seperti orang Cina mereka dimomokkan Tanah Melayu ini Bumi Emas, sama seperti yang dikaji oleh Sulaiman an-Nadvi. Orang India ada yang berlabuh di Pulau Pinang, bekerja sebagai hamba, kuli kedai, kuli pelabuhan. Ada lebihan duit, dikirimkan kepada keluarga di benua India. Sama seperti orang cina, mereka bergolok gadai surat tanah dan rumah sebagai cagaran untuk datang ke Tanah Melayu. Disebabkan Pulau Pinang pesat membangun, peluang kerja sempit tambahan kehadiran ramai buruh dari India datang tiba. Maka semenanjung juga menjadi destinasi orang India. Di semenanjung mereka boleh bekerja sebagai kuli di estet estet getah dan kelapa orang putih. Kerja mereka hanyalah mengcangkul tanah, menggali parit dan mencerut rumput. Ianya hanyalah untuk membuka tanah tanah yang ada. Hasil tanah dibawa pulang ke Tanah Inggeris, di jadikan benda baru dan dijual dengan harga berlipat mahal. Celaka kamu Inggeris!

Tiga bab awal Interlok mengisahkan tiga jenis kaum dan perihal masing masing dalam menjalani kehidupan. Orang Melayu bertani, Orang Cina berlombong dan bergudang kedai, Orang India di estet. Persamaan antara ketiga tiganya adalah pada awalnya, amat tidak mementingkan membaca dan mengira. Bagi orang Melayu, jika tahu membaca pun, bertani jugak kesudahannya, orang Cina di tanah besar mereka seperti orang Melayu juga, bertani dan tidak melihat kepentingan pendidikan. Begitu juga bagi orang India, kekuatan mereka hanyalah tulang empat kerat yang gagah. Bagi orang perempuan, belajarlah apa pun, dapur jugak tempat berkhidmat.

Apa yang ditonjolkan penulis adalah orang Melayu dan Cina amat bermuamalah dalam kehidupan sehari hari mereka. Yang memelihara itik ayam dijual kepada Cina, yang dijual dikedai mereka. Orang Melayu yang kesempitan wang boleh berhutang dengan Cina. Akan tetapi, orang India seperti sedikit terasing dalam pergaulan dengan Cina dan Melayu. Mungkin disebabkan mereka munghuni estet di dalam hutan.

Orang Cina dan India yang sudah menetap di semenanjung dan berkeluarga pula. Apabila sudah besar anak anak mereka, barulah mereka menyedari akan perlunya sekolah untuk anak anak mereka. Mereka tidak mahu menghantar anak anak mereka ke sekolah Melayu. Mereka mahukan guru mereka sendiri, mahu anak anak mereka diajar asal usul dan warisan sejarah mereka sendiri. Lalu wujudlah sekolah sekolah kaum mereka. Bagi orang Melayu, Institut Perguruan Sultan Idris sudah ada untuk membekal guru guru setiap daerah orang Melayu. Bagi Cina dan India, guru dari benua masing masing dipanggil.

Konflik timbul dalam bab Inter-Lock, ianya datang apabila Jepun mula menyerang Tanah Melayu. Slogan kebebasan untuk Asia hanyalah alat untuk Jepun menguasai tanah jajahan baru. Orang Cina ada yang lari ke dalam hutan membentuk gerombolan komunis, ada yang tidak tahu buntu menghuni di pekan pekan dalam keadaan takut. Orang Melayu ada yang bekerja dengan Jepun, yang melawan Jepun ditangkap, dikurung dan diseksa. Orang India ada yang terus duduk di estet, ada pula yang bekerja sebagai polis bekerja untuk Jepun pula bila Inggeris yang penakut itu cabut lari. Jepun mempengaruhi orang India supaya bersama sama mereka untuk gerakan pembebasan India daripada Inggeris, ini menambahkan lagi kepercayaan orang India kepada Jepun.

Setelah Jepun kalah kepada Amerika, Jepun di Tanah Melayu juga menyerah. Dalam masa itu, gerombolan komunis keluar ke pekan menangkap sesiapa sahaja yang pernah menunjuk simpati kepada Jepun. Kemudian orang putih yang celaka datang lagi membawa manifesto Malayan Union. Pada masa ini orang Melayu sudah cerdik, perkumpulan perkumpulan Melayu sudah ditubuhkan, mereka mengadakan rapat umum di kampung kampung, lalu ke pekan, ke kota kota besar. Dalam masa yang sama, orang India dan Cina juga mula mengumpulkan kekuatan melalui perkumpulan masing masing. Kesemuanya bersetuju mereka perlu akui mereka adalah penduduk negeri ini. Sudah tiada lagi pertalian dengan tanah besar mereka. Mereka perlu patuh pada rukun setempat dan akui secara bersama.

Interlok ditamatkan dengan ketiga tiga kaum itu menaiki bas ke ibu kota bagi menyambut kemerdekaan yang pertama.


Sekian. Terima kasih. Taman Uda Murni, Kota Bharu, Malaysia.

0 Komen:

Post a Comment

Follow by Email

ash berkongsi (128) cnp copy and paste (37) berita (21) cnp (21) politik (21) sosiologi (19) Science (16) sains (16) tazkirah (15) sejarah (14) falak (13) Quran (12) astronomy (12) filem (11) mahasiswa (11) sajak (11) kesihatan (8) ramadhan (8) Health (7) astrophotography (7) hobi (7) 2012 (6) Sunnah (6) buku (6) conspiracy (6) english (5) tarbiah (5) travelog dq (5) Diet (4) TURKI (4) tips (4) Kajian (3) pemakanan (3) jumaat (2) music (2) pantun (2) Fetih 1453 (1) Kuliyyah Notes (1) LM 2020 (1) Nebula (1) Risalah Nur (1) SMS (1) ash (1) essay (1) psikologi (1) seloka (1)

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP