Dinsman: Wajah Kota Bharu & Kelantan Akan Segera Bertukar...
Hah, apakah saya berimajinasi keterlaluan? Saya tak pasti, tapi itulah yang bermain di kepala saya, selepas mendengar ucapan-ucapan dari pelbagai pihak, termasuk beberapa orang dari luar negara, dalam majlis pelancaran Dinar dan Dirham Kelantan itu.
Memang Kota Bharu (dan juga Gua Musang) sekarang pun sedang bertukar wajah fizikalnya disebabkan oleh projek-projek pembinaan yang sedang berjalan disana-sini. Rasanya dalam tempoh 20 tahun PAS mentadbir Kelantan sejak tahun 1990 belum pernah Negeri ini mengalami pembangunan fizikal seperti hari ini.


Sewaktu melangkah masuk ke dewan konvensyen KTC paginya, untuk menyaksikan perasmian pelancaran Dinar dan Dirham tersebut, saya sama sekali tidak menjangka bahawa apa yang akan disaksikan di situ adalah sedemikian hebatnya.
Saya fikit orang lain juga sama seperti saya, tidak menjangkakannya, kecuali beberapa orang yang terlibat dalam usaha itu sendiri, yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan, Dato' Paduka Haji Husam Musa dan dua orang kuat syarikat Kelantan Golden Trade Sdn Bhd (KGT) - Prof. Umar Ibrahim Vadillo (CEO) dan Nik Mahani (Pengarah Eksekutif).
KGT ialah anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan projek Dinar dan Dirham Kelantan ini. Prof. Umar (berasal dari Sepanyol) dan Nik Mahani (berpengalaman luas dalam perbankan) adalah tokoh yang telah lama bekerja keras bagi melihat Dinar dan Dirham kembali digunakan oleh umat Islam di dunia. (Nik Mahani juga telah menghasilkan beberapa buah buku yang berkaitan).
Beliau terharu kerana menyaksikan kebangkitan ummah melalui penggunaan semula matawang Dinar dan Dirham yang turut diusahakannya di Negaranya itu, rupa-rupanya kini telah menjadi kenyataan di Kelantan.
Dan secara diam-diam pula rupa-rupanya KGT telah berjaya mendapatkan persetujuan lebih daripada seribu kedai di Kelantan, yang bersedia untuk menerima dinar dan dirham Kelantan dalam urusan jual-beli mereka. (buku senarai kedai-kedai tersebut turut dibekalkan kepada hadirin di majlis itu). Malah Bank Islam dan Tabung Haji juga telah bersetuju untuk menerima D&D itu.

Dari Kuala Lumpur juga sebuah kedai menunjukkan komitmennya menerima D&D Kelantan dalam urusan jual-belinya dengan melakukannya di pentas majlis itu iaitu Saba Islamic Media dan di pentas itu juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Pengerusi PMBK menyampaikan bayaran gaji kepada CEO PMBK, IR Haji Mustafa Salleh dalam bentuk Dinar Kelantan.
Demikianlah makanya sewaktu melangkah keluar dari bangunan KTC tengahari Khamis 2hb. Ramadhan, 1431 itu, saya bukan sahaja terbayangkan wajah baru yang akan menjelma bagi Kota Bharu dan Kelantan tidak lama lagi, tetapi juga merasakan perubahan sedang berlaku dalam fikiran saya sendiri, mengenai beberapa perkara yang saya anggap penting dan utama dalam menilai kecemerlangan pentadbiran Islam di Kelantan.
Memang ini suatu peristiwa yang sedang berlaku di Malaysia, yang kemungkinan akan sekali lagi menjadi tsunami yang membawa kesan cukup besar yang nampaknya sukar dikendalikan oleh para pemimpin Barisan Nasional yang diterajui Dato' Najib. Sesuatu yang sepatutnya berlaku di peringkat Nasional, tetapi ianya berlaku di peringkat negeri yang dikuasai oleh pembangkang, namun mempunyai impak yang bertaraf antarabangsa.

-Dinsman
TPU - Penulis boleh dihubungi melalui email dinsman_49@yahoo.com.my atau sms +6013 636 2408
0 Komen:
Post a Comment