'Rais menteri budaya yang kurang berbudaya'

Wednesday, July 07, 2010

Jimadie Shah Othman-Malaysiakini




Datuk A Samad Said menyifatkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai "kurang berbudaya" apabila mempersoalkan apa lagi yang dimahukan oleh Sasterawan Negara itu.


"Kalau dia (Rais) tanya apa lagi yang saya mahukan, kalau dulu dia bertanya, saya akan huraikan. Cuma caranya bertanya itu kurang berbudaya.


"Maka sekarang, saya (jawab) tidak mahu apa-apa lagi dari dia (Rais)," kata A Samad ketika diminta mengulas kenyataan Rais minggu lalu bahawa terlalu banyak dibelanjakan oleh kerajaan untuk memperoleh bahan atau artifak seni budaya.


Rais, menjawab kekecewaan A Samad terhadap layanan kementeriannya dalam menyediakan penempatan untuk khazanah sastera yang dimilikinya dilaporkan berkata, hampir RM485,000 buku sasterawan itu, tidak termasuk sajak yang telah dibeli.


A Samad sebelum itu dilaporkan mahu menempatkan khazanah yang dimilikinya di sebuah rumah seni di New Zealand selepas kecewa terhadap layanan yang diberikan kementerian dalam menyediakan penempatannya.


Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, A Samad yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, menjelaskan bahawa beliau menjual, justeru tidak ada langsung konsep "hutang budi" dalam perkara tersebut.


"Kalau saya ada duit, saya mahu ambil balik. Berdegar sangat beliau (Rais) bercakap. Ia sepatutnya sesuatu yang peribadi dan menjadi rahsia," kata Sasterawan Negara ketiga itu.


Menurut beliau, khazanah berharga itu termasuklah buku tulisannya, manuskrip, diari, proses penciptaan, surat-menyurat, rekod-rekod lagu dan lukisan - sebahagiannya dibeli daripada pengkarya muda di seluruh negara.


Ada antaranya telah sudah disimpan selama 50 tahun, kata pengarang yang terkenal dengan novel Salina itu.


Sementara itu, ditanya tentang status rundingannya dengan pihak asing, A Samad memberitahu beliau agak "keberatan" mendedahkannya buat masa ini kerana ia adalah "rahsia".


"Yang boleh saya katakan, ada (bahan) yang sudah setuju, ada yang belum," katanya yang tidak dapat menjangkakan bila rundingan bagi penempatan di rumah New Zealand bakal selesai.


Tambahnya, jika perkara tersebut menjadi kenyataan, akan terdapat sebuah rumah di negara Kiwi itu yang menempatkan karya-karyanya "seperti Rumah Tagore di India, Rumah Shakespeare di Barat dan Rumah Iqbal di Pakistan."


Ditanya apakah beliau tidak sayang karya dan koleksinya yang amat itu hilang daripada tangannya, Pak Samad menjawab mesra: "Iya, cuma hilang daripada saya...."

1 Komen:

Bingai @ Bangang Saturday, July 10, 2010 at 9:10:00 PM GMT+8  

Aku rasa Pak Samad ada hak dengan pendapatnya. Sekiranya dia merasakan hasil karyanya berhak ditempatkan di satu Rumah Peringatan maka dia berhak memilih tempat dan tawaran. Sekiranya New Zealand adalah tumpuannya maka New Zealand lah tempatnya. Semoga rakyat di New Zealand juga berkesempatan menilai karya beliau.

Di Malaysia, karyanya sudah dibeli (seperti katanya, ia telah dijual) dan ditempatkan di perpustakaan sekolah yang tidak berhawa dingin dengan lampu sorot berwarna kuning. Namun kehadirannya di perpustakaan dan di dalam pembelajaran membolehkan ianya tertanam di hati setiap pelajar yang menghayatinya seperti aku menghayati Uda Dan Dara untuk hampir 40 tahun walaupun aku tidak mampu memiliki naskahnya ketika itu.

Sekiranya rumah agam jadi pilihan maka ke situlah ia seharusnya berada. Bagi aku, sesuatu di hati itu adalah mahligai!

aku yang bingai

Post a Comment

Follow by Email

ash berkongsi (128) cnp copy and paste (37) berita (21) cnp (21) politik (21) sosiologi (19) Science (16) sains (16) tazkirah (15) sejarah (14) falak (13) Quran (12) astronomy (12) filem (11) mahasiswa (11) sajak (11) kesihatan (8) ramadhan (8) Health (7) astrophotography (7) hobi (7) 2012 (6) Sunnah (6) conspiracy (6) buku (5) english (5) tarbiah (5) travelog dq (5) Diet (4) TURKI (4) tips (4) Kajian (3) pemakanan (3) jumaat (2) music (2) pantun (2) Fetih 1453 (1) Kuliyyah Notes (1) LM 2020 (1) Nebula (1) Risalah Nur (1) SMS (1) ash (1) essay (1) psikologi (1) seloka (1)

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP