Ke Arah Pendidikan Percuma di Peringkat Sekolah
Oleh: Ahmad Ashraf Azhar
Ulung ilmuan
ada bermadah bahawa pendidikan itu adalah proses yang memanusiakan manusia.
Menjadikan seseorang manusia itu sebagai seorang manusia yang penuh nilai-nilai
kemanusian memerlukan sebuah usaha yang jitu. Ia mesti datang dari usaha yang
menyeluruh termasuklah keluarga, jiran-jiran, komuniti, kerajaan hinggalah
kepada individu itu sendiri. Kenapa saya bercakap begini? Ini kerana pendidikan
itu targetnya adalah kepada individu walaupun ia dibuat secara kolektif yang skala
besar seperti kelas, dewan kuliah, madrasah-madrasah tetapi manfaat akhirnya
adalah individu yang akan lahir dari sebuah proses (pembentukan) yang panjang.
Konvensyen
Pendidikan
Sabtu 21
Disember 2013, Teach for The Need (TFTN) telah menganjurkan Konvensyen Pendidikan
Ke-2 TFTN dengan tema ‘Pendidikan Cinta – Demi Masa Depan Malaysia’. Falsafah
‘cinta’ dalam pendidikan adalah perkara yang susah untuk dipisahkan,
bayangkanlah seorang quru yang tekad mendidikan anak murid mereka, mana mungkin
tiada cinta dalam hati untuk melihat anak muridnya kelak berjaya, menjadi
manusia yang berguna pada diri, membawa rahmat pada keluarga dan memberi
manfaat kepada masyarakat yang terbanyak.
Konvensyen yang saya perhatikan, majoriti yang
hadir adalah golongan muda. Ada mahasiswa daripada KIAS, Kota Bharu datang
semata-mata konvensyen, amat kagum saya kepada beliau.
Saya
yakin, semua yang hadir konvensyen tempoh hari adalah golongan yang tegar
dengan media sosial, bagi mereka media sosial bukan lagi tempat berhibur
seperti ‘arwah’ Friendster, MySpace dan Hi5, tetapi menjadikan
media sosial sebagai sumber primer untuk mendapat maklumat yang terkini.
Perkara ini telah dibuktikan ketika berlakunya Arab Springs yang mana ia
bermula dari mesej-mesej ringkas Twitter
dan Facebook
Itulah pentingnya media sosial dan kesannya seperti
yang telah dicontohkan. Tapi, itu di Timur Tengah, dan pasti Malaysia amat
berbeza. Saya secara peribadi tidak mahu revolusi seperti itu berlaku kerana
pasca-revolusi adalah fasa-fasa yang
susah untuk diduga. Proses pembaik pulih pasca revolusi memakan masa,
bukan hanya setahun boleh selesai. Lihat sahaja Mesir.
Pendidikan Percuma
Teori asas free
education (pendidikan percuma) adalah, kerajaan menawarkan kepada rakyat
sebuah pendidikan percuma tanpa yuran, sebaliknya perbelanjaan pendidikan itu
datang daripada percukaian.
Persoalan
yang perlu kita tanya jika mahu laksanakannya di Malaysia, siapakah target
pendidikan percuma, kanak-kanak awal sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah,
peringkat pengajian tinggi, pelajar-pelajar ijazah kedua, adakah pendidikan
percuma itu termasuk pelajar dari luar negara? Ini persoalan-persoalan yang
perlu kita selesaikan untuk melaksanakan pendidikan percuma di Malaysia.
Bagi
saya, pendidikan awal seperti tadika, sekolah rendah dan menengah haruslah
dahulu diberikan keutamaan oleh kerajaan buat masa ini. Percuma dari segi
yuran, pakaian, alat bantu pembelajaran, ini kerana perkara-perkara asas
seperti inilah yang dimiliki susah oleh rakyat yang kurang pendapatan. Tanya
sahaja ibu bapa di awal tahun, inilah rungutan mereka terutama keluarga yang
berpendapatan rendah dan juga mereka yang tergolong dalam lingkungan miskin
bandar (urban poverty).
Idea
seperti di atas boleh diaplikasi di sekolah-sekolah kerajaan. Selain itu,
kerajaan juga mesti memilih dan mengenal pasti sekolah yang berpeluang untuk
mendapat bantuan-kerajaan. Tetapi perlulah ada syarat-syarat yang tersendiri supaya
layak mendapat bantuan kerajaan. Setelah mampan pendidikan di peringkat
persekolahan, barulah kerajaan beralih kepada untuk mempercuma pendidikan
peringkat tinggi.
Kerajaan
dan Persoalan Autonomi
Apa yang
bermain di minda saya, jika kerajaan sudi memperkenalkan pendidikan percuma,
adakah kerajaan berani untuk memperkenankan sekolah mempunyai autonomi
pendidikan sendiri. Adat orang memberi, mahu segala kata-katanya diikuti.
Sediakah kerajaan untuk bertindak sebegitu?
Ini
kerana, sistem pendidikan di Malaysia adalah terlalu berpusat (centralized),
semua sistem pemarkahan, subjek kokurikulum, datang dari satu sistem berpusat. Sebagai
contoh, sistem jam pembelajaran, pihak pusat telah menetapkan bahawa subjek
Bahasa Inggeris mestilah diajarkan sebanyak tujuh jam seminggu di sekolah,
mengikut sistem yang berpusat, tidak kira dimana seorang anak itu belajar, di
bandar atau di kampung pedalaman, Bahasa Inggeris mestilah diajar tujuh jam
seminggu. Pelajar di bandar, berkomunikasi dalam Bahsa Inggeris tidak menjadi
masalah kerana, mereka ada keluarga yang bertutur bahasa tersebut, malah, surat
khabar, drama, filem dalam Bahasa Inggeris juga banyak. Maknanya, waktu seorang
pelajar bersama dengan Bahasa Inggeris itu amat banyak, malah kadang-kadang
waktu di rumah yang secara langsung itu lagi berkesan daripada sekolah yang
tujuh jam itu. Jika pelajar itu berada di penempatan orang asli, apakah Bahasa
Inggeris berguna untuk dia untuk dia hidup bersama-sama masyarakatnya?
Sebab
itu, di sini, saya mahu mencadangkan supaya, berikan sahaja autonomi kepada
sekolah untuk menentukan apa yang perlu dilakukan dari segi subjek yang mahu
diajarkan dan jumlah pembelajaran yang diperuntukkan.
Besar
harapan saya untuk melihat, akan muncul seorang tokoh dari Gua Musang yang
pakar dalam sains pertanian dan perhutanan kerana sejak kecil lagi beliau
belajar tentang asas-asas pertanian, kemudian dapat beramali subjek pelajaran
di sekolahnya secara langsung apabila pulang ke rumahnya yang memiliki tanah
yang subur dan suasana yang nyaman.
Begitu juga saya mahu lihat nanti, akan muncul tokoh nelayan antarabbangsa dari
Kuala Besut, memang nelayan menjadi impiannya, tetapi bukan nelayan perairan
cetek yang bekerja di bawah badan perikanan tempatan, tetapi mandapat mandat
dan berdiri di atas kaki sendiri menjadi taukeh nelayan peringkat antarabangsa
dan menguasai ilmu import-eksport.
Dengan
ini dapatlah kita melahirkan seorang manusia yang dimanusia secara tepat dengan
skop tempat mereka (lokaliti). Seterusnya, bila mereka berdikari, dapatlah
mereka menjadi insan yang berguna kepada masyarakat di tempat mereka sendiri.
Penutup
Pendidikan
percuma itu perlu direalisasikan di Malaysia secara perperingkat dan mesti
jelas daripada mana perbelanjaan untuk menampung pendidikan itu datang, mungkin
hari sini, sistem percukaian dan sistem waqaf boleh dicadangkan.
Seterusnya,
kerajaan mestilah mengambil kira sekolah bukan kerajaan untuk dibantu. Autonomi
sekolah juga mesti diamalkan kerana Malaysia negara yang heterogenik, yang
memiliki kepelbagaian agama, budaya, adat dan tradisi. Untuk memukul rata secara
nasional adalah kurang tepat, sebab itu perlu diberikan autonomi sekolah.
Harapan saya pada kerajaan,
janganlah nanti jika ada rakyat merungut kerana tiada mampu menghantar
anak-anak mereka ke sekolah kerana belanja persekolahan yang tinggi. Saya berharap,
tiada wakil kerajaan berkata “Jika tak mampu sekolah, sila duduk rumah”.
Pernah tersiar di:
- The Malaysian Insider - Ke arah autonomi pendidikan di peringkat sekolah
- Free Malaysia Today - Pendidikan Percuma dan Autonomi Pendidikan
0 Komen:
Post a Comment